
KUALA LUMPUR: Strategi baru, termasuk membuka laluan darat menerusi Rafah, Mesir akan dirangka bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap di Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, malam semalam, beliau berkata, strategi itu antara ikhtiar bakal dilakukan Malaysia dalam usaha memecahkan kepungan rejim Zionis di bumi Palestin selepas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, dipintas tentera Israel.
Bagi merealisasikan gelombang kedua misi kemanusiaan Sumud Nusantara, Perdana Menteri berikrar menggunakan segala ruang diplomasi, antaranya dengan menghubungi Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi untuk berunding supaya Rafah dibenarkan sebagai pintu masuk ke Palestin.
Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan terus bermuafakat dengan negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan ke Gaza, seterusnya membuka jalan kepada keamanan hakiki demi menegakkan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
Malaysia, katanya, tidak gentar memperjuangkan kebenaran dan akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut supaya bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza.
“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri, sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia. Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka!” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.