
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyifatkan Program BUDI MADANI RON 95 (BUDI95) akan memberi manfaat kepada 120,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus meringankan beban kos sara hidup mereka.
Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri bahawa warga ATM akan diberikan akses lebih awal untuk menerima subsidi itu juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan serta moral pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi kedaulatan tanah air.
“ATM amat menghargai keprihatinan dan sokongan padu Kerajaan MADANI terhadap kebajikan warganya dan akan terus komited dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Bagaimanapun, sebagai penghargaan kepada warga polis dan tentera, Anwar berkata golongan itu akan mula menikmati harga itu tiga hari lebih awal iaitu pada Sabtu ini, (27 September).
Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95, namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.