
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menyatakan sokongan penuh untuk menyegerakan keanggotaan penuh Malaysia dalam perkumpulan BRICS.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembangan itu dizahirkan Xi semasa pertemuan mereka di Great Hall of the People di sini.
“Presiden Xi menyatakan sokongan penuh beliau untuk menyegerakan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS.
“Ini satu penghormatan besar atas dukungan terhadap negara kita untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia,” kata Anwar kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja empat hari beliau ke China.
BRICS yang ditubuhkan pada 2009 kini dianggotai 11 negara termasuk Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan dan Mesir. Malaysia menjadi negara rakan blok itu pada awal 2025.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat terhadap Xi dan kedua-dua pemimpin itu membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dua hala.
Anwar berkata, pertemuan berkenaan mempererat ikatan yang terjalin sejak lawatan negara Xi ke Malaysia pada April lalu, dengan sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian telah dimeterai.
“Saya nyatakan bahawa hubungan ini perlu diterjemah dengan pelaksanaan segera terhadap perkara yang telah dipersetujui.
“Hanya dengan tindakan pantas, hubungan istimewa ini dapat memberi impak yang lebih bermakna buat rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar
.