
ALOR SETAR: Usaha mencari dan menyelamat sekurang-kurangnya lapan kru sebuah bot pancing yang dikhuatiri karam di perairan timur laut Pulau Perak, dekat Yan, digerakkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata insiden itu dilaporkan oleh tekong bot pada 10.45 pagi selepas seorang kru bot terbabit memaklumkan kepadanya ketika berada di kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari timur laut Pulau Perak.
“Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11 pagi dan aset APMM, KM Siangin telah ke lokasi kejadian bagi melakukan penilaian awal serta memberikan bantuan segera.
“Berdasarkan maklumat setakat ini, dianggarkan lebih lapan kru berada di atas bot berkenaan dan identiti kesemuanya sedang disahkan,” katanya dalam kenyataan.