
IPOH: Dua puluh lima awak-awak berjaya diselamatkan selepas sebuah bot nelayan terbakar berhampiran Pelantar Alep, Pantai Remis, dekat Lumut, malam semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, semua awak-awak itu diselamatkan bot nelayan yang berada berdekatan lokasi kebakaran setelah mereka terjun ke laut.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.06 malam, sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis ke lokasi.
“Kejadian membabitkan kebakaran sebuah bot pukat jerut jenis kelas C bersaiz 75 X 22 kaki musnah terbakar 80 peratus lebih kurang 3.5 nautika dari pelantar berdekatan.
“Terdapat 25 orang awak-awak telah diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berdekatan lokasi kebakaran setelah terjun ke laut dan dibawa ke Pelantar Alep,” katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan dengan pemilik bot, didapati bot yang memiliki kapasiti diesel sebanyak 10,000 liter sedia untuk dikaramkan dan sedang ditunda ke tengah laut dengan menggunakan bantuan dari bot nelayan yang berada berdekatan lokasi.
Bagaimanapun, katanya, operasi pemadaman diteruskan atas permintaan pemilik bot kerana memerlukan bangkai bot itu.