
KOTA KINABALU: Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Barisan Nasional (BN) Sabah akan menampilkan 81 peratus calon baru, termasuk 50 peratus adalah calon muda pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengerusi BN Sabah itu berkata Umno Sabah kini berada dalam keadaan bersiap siaga dan penuh semangat untuk menghadapi PRN17.
“Saya ingin memaklumkan 81 peratus adalah calon-calon muka baru dan anak-anak muda untuk BN.
“Anak muda 50 peratus. Wanita ada tapi belum diputuskan tetapi memang ada,” katanya pada sidang media di bangunan Umno Sabah, di sini semalam.
Beliau yang juga Ketua Umno Sabah turut memaklumkan bahawa seramai 614,994 ahli Umno di seluruh negeri sudah digerakkan bagi menghadapi pilihanraya kali ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 474,252 adalah ahli Umno yang boleh mengundi dalam pilihanraya dan kita akan mengumumkan kerusi-kerusi serta senarai calon satu minggu sebelum penamaan calon.
“Kita juga akan melancarkan jentera pilihan raya BN dan janji tawaran baru kita iaitu Rancangan Pembangunan Sabah Satu kepada rakyat negeri Sabah.
“Bermacam-macam tawaran kita buat, tawaran baru untuk kita perbetulkan ekonomi dan juga masa depan hidup rakyat negeri Sabah. Anak-anak muda juga tidak ketinggalan dalam rancangan program kita pada masa depan,” katanya.
Mengenai tawaran baru yang akan dikemukakan, beliau berkata, antara fokus utama ialah mewujudkan tabung kemakmuran negeri yang mengutamakan masa depan rakyat Sabah.
“Untuk pendidikan kita telah memberi jaminan beri pendidikan percuma kepada seluruh anak Sabah sampai ke universiti,” katanya.