Bina rumah ibadat mesti patuh undang-undang: PM

Foto Bernama

AMPANG JAYA: Sebarang pembinaan rumah ibadat mesti mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan tanpa mengira kaum.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua rumah ibadat termasuk kuil, masjid, surau dan gereja perlu mematuhi peraturan yang sama demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

“Saya tegaskan saya tidak setuju dengan percambahan kuil-kuil yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Mesti ikut peraturan sama seperti masjid atau surau atau gereja, tetapi jangan timbul permusuhan, jangan langgar peraturan.

“Kalau sudah kita langgar hasilnya kebencian, masalah tidak selesai,” tegas Perdana Menteri ketika berucap pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di sini,semalam.

Beliau yang juga Presiden PKR turut memberi amaran terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba menjadi ‘hero’ dalam isu yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

“Ada orang tegur sudah lama kita biarkan ia berlarutan, semua nak jadi hero sekarang tidak kira di kampung di surau, kalau pergi kuil jadi hero ekstrim.

“Tetapi akhirnya kita korbankan kepentingan perpaduan negara kita,” katanya.