
PUTRAJAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memberikan pendedahan perundangan kepada warganya, khususnya di sekolah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pendedahan itu penting berikutan masih ada masyarakat yang tidak mempunyai kefahaman terhadap perundangan sedia ada.
Melalui kerjasama itu, katanya, pihak BHEUU akan mengadakan program bersama warga pendidik untuk memberikan kefahaman berhubung undang-undang khususnya yang membabitkan mereka.
Beliau berkata, BHEUU mempunyai akademi yang berfungsi memberikan latihan kefahaman kepada pihak berkaitan.
“Contohnya (bawah) Seksyen 19 Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak, (pengurusan) sekolah, pengetua kena tahu (bahawa) kalau ‘under reporting’ (tidak melaporkan), sekolah dan pengetua pun didapati salah bila tengok kanak-kanak berkenaan sudah lain sikit.
“Kadang-kadang di kawasan sekolah kadang-kadang ada isu. Dia tak nak campur, dia takut kena marahlah, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) tak puas hati, kita pun tak tahu kan. Tapi prosedur ada,” katanya.