Bermulanya era gemilang: Xi Jinping

Presiden Xi Jinping dan PMX telah menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU). foto Anwar Ibrahim

Presiden Xi Jinping menyifatkan hubungan Malaysia dengan China akan memasuki era gemilang baru (new golden era) pada waktu perang tarif global semakin menjadi-jadi.

Beliau berharap usahasama China-Malaysia dan lawatannya ke Kuala Lumpur akan membuahkan hasil memberangsangkan serta membawa kepada permulaan era “50 tahun emas” baru.

China juga mahu lawatan ke sini membuka lembaran baru dalam sejarah hubungan kejiranan mesra dan perdagangan yang menguntungkan kedua-dua negara.

Ini adalah lawatan kunjungan rasmi kedua Jinping ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun. Kali terakhir beliau ke Kuala Lumpur adalah pada tahun 2013.

Jinping juga memuji pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai memacu Malaysia di landasan yang betul.

Menurutnya, Malaysia akan mencapai kejayaan lebih gemilang di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Anwar.

“Malaysia telah berkembang pesat dan mencapai kemajuan besar dalam pemodenan sejak kali terakhir saya melawat negara ini. Semasa lawatan saya pada 2013, saya amat terpesona dengan keindahan alam semulajadi Malaysia, kepelbagaian budaya dan rakyatnya yang baik hati.

“Saya tidak ragu-ragu di bawah kepimpinan Sultan Ibrahim dan Anwar Malaysia akan menjadi lebih berdaya maju dan mencapai kejayaan lebih besar dalam membangunkan Malaysia Madani,” katanya.