Berintegriti atau hadapi tindakan: Shuhaily

Foto NSTP

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengingatkan pegawai dan anggota agensi itu supaya kekal berintegriti.

Beliau berkata, sebarang perbuatan salah laku dan rasuah mudah dirakam dan disebarkan masyarakat menerusi penggunaan serta pengaruh media sosial.

Katanya, beliau juga tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan sedemikian.

“Apa yang saya boleh ambil daripada peringatan saya semasa di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mahupun saya di sini adalah keperluan berubah kepada sesuatu benda yang lebih baik kerana sekiranya kita gagal untuk memastikan bahawa perubahan itu perlu maka masyarakat akan mengubah kita.

“Dan dalam konteks hari ini perubahan yang boleh dibawa oleh masyarakat secara drastik ialah melalui media social,” katanya.

Kita akan sentiasa mengingatkan supaya pegawai AKPS tidak terjebak dalam apa juga salah guna kuasa mahupun rasuah kerana akan sentiasa ada mata memandang, katanya.