
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim.menegaskan semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu mengikut peraturan yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.
Mengulangi pendiriannya berhubung isu rumah ibadat tanpa kelulusan, Perdana Menteri berkata, kerajaan Madani tiada halangan atau menyekat sebarang kegiatan keagamaan di negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, isu sedemikian perlu ditangani dengan baik, walaupun ada kadang-kadang penyelesaiannya tidak mudah, justeru, penguatkuasaan juga perlu telus.
Katanya, apapun yang mahu dilakukan, pihak berkenaan perlu mengikut peraturan kerana negara ini berpaksikan undang-undang.
‘Saya terlibat juga dalam kegiatan-kegiatan dakwah dulu. Tapi, kalau orang nak buat dakwah yang mengganggu lalu lintas… buatlah dakwah tiada sekatan sama sekali tapi ikutlah peraturan. Itu saja yang kita minta.
“Macam sepertimana kuil-kuil Hindu, sembahyang lah sebanyak mana dia nak pun, buat lah kuil mana pun, tapi ikut peraturan lah. Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana tempat saja, tak boleh,” katanya berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya’ Ramadan, di sini. hari ini.
Anwar turut menyangkal dakwaan bahawa pembinaan surau juga dibuat di merata tempat dan tidak mengikut peraturan.
Katanya, seperti di Perak sebelum ini, ada surau yang pernah dirobohkan kerana melanggar peraturan.
“Jadi saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik,” katanya.
Ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, minggu lalu, Perdana Menteri menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan supaya `membersihkan’ rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.