Belanjawan galak literasi kewangan, keterangkuman pelaburan

Foto Fail / NSTP

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan Datuk Sei Anwar Ibrahim semalam sebagai langkah penting ke arah Malaysia yang lebih saksama, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

Menurut PNB, tumpuan adalah terhadap peningkatan taraf hidup rakyat, reformasi ekonomi berterusan dan pertumbuhan inklusif.

Kenyataannya PNB itu menyebut sokongan terhadap semua inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan itu adalah usaha reformasi struktur berterusan melalui pelaksanaan subsidi bersasar.

Penjimatan hasil langkah tersebut akan dilaburkan semula bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“PNB amat menghargai peruntukan berterusan untuk program Celik Madani yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan serta menggalakkan amalan pelaburan bertanggungjawab dalam kalangan golongan muda di Malaysia,” katanya.

PNB turut menyambut baik peningkatan saiz dana unit amanah Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) dan Amanah Saham Malaysia (ASM), masing-masing sebanyak lima bilion unit, menjadikan jumlah keseluruhan tambahan sebanyak 10 bilion unit.

Langkah ini akan membolehkan lebih ramai rakyat melangkah ke arah kestabilan kewangan melalui pelaburan berimpak jangka panjang, selain memperluas peluang penciptaan kekayaan.

PNB menegaskan bahawa penambahan saiz dana berkenaan mencerminkan komitmen berterusan terhadap keterangkuman kewangan, di samping membuka ruang kepada lebih ramai rakyat termasuk pelabur baharu dan pelabur kali pertama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk turut serta dan menikmati manfaat produk pelaburan ASNB.