Belanjawan 2027 teliti persediaan depan era Malaysia menua – Akmal Nasrullah

Sumber Gambar : Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang meneliti struktur persediaan Malaysia bagi berdepan peralihan demografi sebagai sebuah negara menua, dan hasil kajian itu akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2027.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendekatan tersebut tidak tertumpu kepada pengurusan warga emas semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada persiapan golongan muda yang bakal memikul tanggungjawab lebih besar dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Junior Innovathon: Di Sini Inovasi Bermula, di sini, hari ini.

Dalam konteks pembangunan belia, katanya, kementerian mahu meluaskan pendedahan anak muda kepada program khusus serta membuka segmen ekonomi yang selama ini kurang difahami mereka, terutamanya berkaitan pasaran dan pemilikan saham, supaya golongan itu berpeluang meneroka sektor baharu.

Akmal Nasrullah turut menekankan keperluan memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pembentukan bakat di peringkat akar umbi, khususnya bagi memenuhi keperluan kemahiran industri bernilai tinggi dan berpertumbuhan tinggi (HGHV). Kerajaan, katanya, juga memperkukuh dana penyelidikan dan penciptaan bukan sekadar untuk tujuan akademik tetapi ke arah pengkomersialan.

Sementara itu, Junior Innovathon Musim Kedua 2026 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mula bersiaran pada 20 September ini, menampilkan 50 pasukan terbaik daripada 2,092 penyertaan, sebelum juara dipilih pada 1 November 2026.

Sumber : Bernama