
KUALA LUMPUR: Langkah penjimatan kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027 tidak akan menjejaskan perancangan utama Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Beliau memberi jaminan bahawa pengambilan guru baharu, pembinaan bilik darjah tambahan serta program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
“Kita tidak mahu rakyat merasa risau dan gusar kerana walaupun seruan penjimatan itu adalah seruan yang sangat penting dan kritikal ketika ini, tetapi saya ingin beri jaminan bahawa ia tidak akan memberikan ataupun mengganggu dalam konteks terkait rapat dengan keutamaan-keutamaan pada peringkat kementerian,” kata Fadhlina.
Selain itu, Fadhlina turut memastikan pembaikan sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan akan diteruskan, sekali gus menenangkan kebimbangan ibu bapa dan warga pendidik yang bimbang langkah berjimat-cermat akan mengorbankan kemudahan asas persekolahan di seluruh negara.
KPM juga akan memastikan sebarang langkah penjimatan tidak memberikan kesan kepada pelancaran kurikulum baharu pada tahun hadapan, selain kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan bahawa Belanjawan 2027 akan dirangka dengan lebih banyak langkah penjimatan susulan tekanan ekonomi global yang menjejaskan kedudukan fiskal negara, antara lain melibatkan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketidaktentuan geopolitik dunia, termasuk rantaian ketegangan susulan serangan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel ke atas Iran, turut menuntut perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemat.
Sementara itu, mengenai pemberian baucar buku RM100 bagi pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang diumumkan Perdana Menteri semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 pada Jumaat lepas, Fadhlina berkata ia akan mula diedarkan sebaik sesi persekolahan kembali dibuka.
Sumber: Bernama