Belanjawan 2026: Kukuh Ekonomi, Sejahtera Rakyat

Foto Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat akan terus menjadi tunjang Belanjawan 2026, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Belanjawan Madani 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan, tetapi cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau meluangkan sedikit masa semalam untuk meninjau persiapan akhir pembentangan Belanjawan Madani Keempat di Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri turut berkesempatan beramah mesra dengan warga kementerian serta menandatangani beberapa dokumen penting berkaitan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan beliau hari ini (Jumaat) di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Anwar memberi taklimat berkaitan belanjawan kepada editor media di kementerian berkenaan di Putrajaya.

Tahun lalu, Kerajaan Madani membentangkan belanjawan tertinggi dalam sejarah negara berjumlah RM421 bilion, yang merangkumi RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, bersamaan dengan 20.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).