
SEPANG: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memberi bayangan bahawa Belanjawan 2026 bakal membawa berita baik bukan sahaja kepada penjawat awam, malah untuk rakyat keseluruhannya.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan perincian lanjut berhubung perkara itu kerana belanjawan terbabit akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bulan depan.
“Mesti ada berita baik, tetapi saya belum boleh berkongsi, tidak mengecewakan.
“(Berita baik) untuk penjawat awam, untuk rakyat, kerajaan MADANI, kerajaan yang baik dan prihatin kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian imbuhan atau bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam yang menjadi tunjang pentadbiran negara, dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat, dilaporkan berkata, penjawat awam sudah lama tidak menerima khabar gembira diberi bonus tahunan sebulan gaji sebaliknya sekadar pukul rata RM500.