
KUALA LUMPUR: Bekas menantu Ismail Sabri, pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie, hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) yang mengisytiharkan beliau muflis.
Jovian diisytihar muflis kerana gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan, semuanya berjumlah RM5.28 juta.
Hakim, Jamhirah Ali membuat keputusan menolak rayuan itu melalui prosiding dalam kamar, selepas mendengar hujahan peguam Jovian selaku penghutang penghakiman dan peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad bagi syarikat Cekap Air Sdn Bhd, yang bertindak selaku pemiutang penghakiman.
Jamhirah turut menolak rayuan Jovian untuk menggantung perintah kebankrapan berkenaan dan kemudian memerintahkannya membayar kos kesemuanya berjumlah RM10,000.
Siti Nur Athirazatti mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan.
Pada 3 Julai tahun lalu, Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli mengisytiharkan Jovian muflis selepas membenarkan petisyen pemiutang dikemukakan Cekap Air Sdn yang difailkan pada 20 November 2024.
Menurut petisyen itu, Jovian, dalam masa enam bulan sebelum tarikh petisyen berkenaan, telah melakukan perbuatan kebankrapan, iaitu gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh21 Mei tahun lalu.
Ia menyatakan Jovian berhutang kepada Cekap Air RM 5,284,340.66 termasuk faedah setakat 21 Mei 2024, iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April 2024 melalui kes saman utama.
Syarikat itu memfailkan Notis Kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan Mahkamah Tinggi.