
KUALA LUMPUR: Datuk Hishamuddin Aun, bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), meninggal dunia di Hospital Sultan Idris, Serdang, petang semalam, akibat jangkitan Influenza A.
Allahyarham Hishamuddin, berusia 64 tahun. Isteri Allahyarham, Datin Linda Taib, berkata Hishamuddin ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak lebih sebulan lalu.
Beliau memaklumkan, kesihatan Allahyarham semakin merosot selepas dua minggu ditempatkan di ICU.
“Ketika ditempatkan di ICU, Allahyarham ditidurkan selain turut disahkan menghidap penyakit paru-paru berair selepas mendapat rawatan,” katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang.
Hishamuddin dilantik sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian selama tiga tahun dari 2003 hingga 2006.