Bekas Banduan Diampuni, Buat PhD Dalam Penjara

Foto Royal Selangor Office

SHAH ALAM: Dr Malik Yatam, bekas banduan pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) ketika dalam penjara diterima menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada tahun 2024, Dr Malik diberi pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor.

Menurut Selangor Royal Office, pada pertemuan itu, baginda berkenan bertanyakan khabar dan perancangan masa hadapan Dr Malik selepas keluar penjara.

“Baginda amat terharu dengan kisah perjalanan hidup Malik dan baginda merasakan beliau layak diberi peluang kedua.

“Baginda sudah mempertimbangkan pengampunan sebaik melihat semua faktor yang disembah maklum semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.

“Baginda turut menasihatkan Malik agar terus menjaga nama baik keluarga dan sentiasa bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup,” demikian kenyataan Selangor Royal Office.

Menurut Selangor Royal Office, pertemuan itu berlangsung hampir sejam dalam suasana yang hening, sedih dan pilu.

“Ini adalah pertemuan pertama seumpamanya antara Tuanku Sultan Sharafuddin dengan seorang bekas banduan yang mendapat pengampunan daripada baginda,” kata kenyataan itu.

Malik yang menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, kini berusia 39 tahun berjaya memperoleh Ph.D dalam bidang pentadbiran perniagaan, hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.