Lebih 120 Bekas Ahli, Pimpinan Bersatu Pulai Isytihar Sokong PH

Foto FMT

JOHOR BAHRU: Seramai lebih 120 bekas ahli dan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai secara rasmi mengumumkan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan (PH) pada satu sidang media di sini hari ini.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata kumpulan itu sebenarnya sudah menzahirkan hasrat menyokong gabungan tersebut sejak lebih awal, namun memilih untuk memaklumkannya secara terbuka pada hari ini. Menurutnya, keputusan berkenaan turut telah dimaklumkan kepada kepimpinan Bersatu terlebih dahulu.

Antara bekas pimpinan yang menyertai PH ialah bekas Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Bahagian Pulai Rafidah Ani, bekas Setiausaha Srikandi Bahagian Pulai Noriah Mat Daud dan bekas Pengerusi Bersatu Cawangan Bukit Mewah Mohd Suhimi Abdul Rahman, selain beberapa ahli jawatankuasa peringkat bahagian dan cawangan.

Muhammad Faezuddin yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkata faktor utama yang mendorong sokongan itu adalah prinsip PH yang mengamalkan pendekatan membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik.