
KUALA LUMPUR: Perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat minyak lain diadakan bagi memastikan bekalan minyak negara kekal mencukupi untuk tempoh sebulan lebih, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, langkah itu membolehkan kerajaan meneruskan mekanisme subsidi bahan api.
Beliau berkata, isu harga bahan api adalah penting dan memerlukan fakta serta kejelasan untuk ditangani.
“Isu yang dekat di hati saya ialah harga bahan api. Kita perlu menanganinya. Kadangkala dalam pelaksanaan dasar ekonomi, ia mesti berpandukan fakta. Sebab itu kita membuat keputusan berkaitan RON95.
“Selepas berbincang dengan Petronas dan syarikat minyak lain, kita masih mampu mengawalnya untuk tempoh sebulan atau lebih. Rakyat seharusnya menjadi pihak terakhir yang terbeban dengan isu ini,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 9 bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global.
Panel lain adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta Ketua Ekonomi World Bank Malaysia, Dr Apurva Sanghi.
Kerajaan sebelum ini menurunkan kuota petrol RON95 bersubsidi kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.