KSN Tegaskan BDR Bukan ‘Baring Duduk Rehat’, Perlu Ikut Peraturan

Foto Fail Nstp

SHAH ALAM: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam perlu mematuhi peraturan dan KPI, serta bukan sekadar ‘Baring Duduk Rehat’.

Beliau berkata, ketua jabatan perlu memastikan setiap petugas yang ingin melaksanakan dasar BDR mematuhi peraturan dan tatacara yang ditentukan selain memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) di bawah Teras 2: Pembangunan Modal Insan, yang menekankan peningkatan produktiviti.

“Sebagai respons terhadap tekanan ekonomi dan keperluan semasa, kerajaan melalui Jemaah Menteri pada 1 April lepas telah bersetuju agar dasar BDR dilaksanakan bermula 15 April ini namun, jangan salah faham.

“Ia mesti mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan,” katanya.