
KUALA LUMPUR: Peniaga bazar Ramadan terpanjang di Bandar Tasik Puteri, dekat Rawang diuji pada hari pertama Ramadan apabila sebahagian tapak khemah dilapor rosak akibat hujan lebat dan angin kencang petang semalam.
Khemah, makanan, minuman serta peralatan lain yang ditempatkan di sebahagian daripada tapak bazar sepanjang 1.4-kilometer itu diterbangkan angin dan dibasahi hujan.
Peniaga dan pengunjung dilihat berlindung di bawah khemah yang masih berdiri, dengan beberapa peniaga juga cuba menyelamatkan peralatan mereka selepas ribut melanda.
Menerusi beberapa video yang dimuat naik oleh @chefazreen86 di TikTok hari ini, keadaan cuaca pada awalnya dilihat tenang sebelum bertukar ganas hanya dalam beberapa minit.
Angin kencang menggoncang khemah dan membasahi keseluruhan kawasan tapak bazar yang turut dikenali sebagai Bazar Ramadan Santai di kalangan orang ramai.