
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) di antara Malaysia dan Amerika Syarikat masih belum berkuatkuasa kerana perlu melalui proses ratifikasi selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa sehingga kini Amerika masih belum mengemukakan sebarang cadangan berkaitan tarif untuk dipertimbangkan dalam proses berkenaan, menyebabkan perjanjian itu masih tertangguh.
Oleh itu, katanya Malaysia tidak akan terburu-buru untuk membatalkan ART yang dimeterai 26 Oktober tahun lalu, selepas tarif import diperkenal Presiden Donald Trump dibatalkan Mahkamah Agung negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan perlu diberi ruang dan masa untuk meneliti serta memutuskan termasuk melihat soal kepentingan dan implikasinya kepada ekonomi negara.
“Mengapa kita nak terburu-buru… kerana Mahkamah Agung Amerika putuskan tiga hari yang lalu, hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung, saya tidak setuju,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam menilai perkembangan berlaku di Amerika itu kerajaan perlu melihat tindak balas dibuat Trump ke atas keputusan mahkamah itu.
“Kalau teliti sekarang perkembangan di Amerika, hari-hari ada perbahasan sengit mengenai peruntukan undang-undang yang menyebabkan Mahkamah Agung Amerika membuat keputusan. Kemudian perbahasan di Kongres (di AS).
“Maknanya kalau kita buat keputusan (sekarang), (kemudian) Kongres (AS) berfikir lain, kemudian Trump buat beberapa keputusan tentang menggunakan peruntukan-peruntukan lain, itu belum terjangkau oleh kita sekarang.
“Saya bimbang kalau kita buat keputusan selepas kita ada perjanjian, tapi perjanjian itu (sendiri) pun belum dimuktamadkan. Saya tanya menteri sebab berapa bulan sudah dan belum ada proses ratifikasi. Iaitu AS belum sambut, jadi kita biarlah dulu. Jadi perjanjian ini belum diratifikasi, itu penting,” katanya