
PUTRAJAYA – Bantuan khas kewangan secara sekali bayar berjumlah RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa akan mula diagihkan secara berfasa bermula Rabu ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata pengagihan dimulakan dengan kumpulan pertama yang diundang ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menerima baucar, sebelum disusuli kumpulan lain secara berperingkat.
“Jadi, susulan daripada perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (menerusi Belanjawan 2027), maka bermula seawal Rabu ini, kita akan mengagihkan bantuan ini secara berfasa. Kita komited untuk memberikan bantuan dalam tempoh terdekat supaya pemandu beragama Hindu dapat bantuan ini sebelum Deepavali,” katanya.
Menjawab persoalan mengenai pengagihan sebelum belanjawan diluluskan, Loke menjelaskan hasil yang dirujuk Perdana Menteri iaitu penjualan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri H sudah pun masuk untuk tahun ini. Media sebelum ini melaporkan bidaan nombor pendaftaran khas siri H mencatat kutipan RM91.2 juta. Anwar yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” Jumaat lepas, berkata bantuan itu antara langkah memulangkan hasil penjualan nombor pendaftaran khas kepada rakyat.
Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata pas MyKomuter50 berharga RM50 sebulan dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan, membolehkan warganegara Malaysia menggunakan perkhidmatan KTM Komuter tanpa had selama 30 hari sekali gus mengurangkan kos pengangkutan dan sara hidup.
“Sebelum ini, memang agak sukar untuk memperkenalkan tanpa apa-apa peruntukan dan juga kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF), kerana komuter ini melibatkan perjalanan yang lebih jauh. (Harga) tiketnya lebih tinggi, jadi dengan kelulusan daripada MOF, maka kita dengan sukacitanya akan bekerjasama dengan pihak KTMB (Keretapi Tanah Melayu Bhd) untuk memperkenalkan pas My50 untuk komuter, iaitu MyKomuter50,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan pas itu sedang diusahakan bersama KTMB termasuk persediaan sistem tiket bagi memudahkan pengguna. Kerajaan turut merancang menambah baik perkhidmatan KTM Komuter menerusi pengoperasian 12 set tren baharu di sektor utara seawal Februari tahun depan, selain peningkatan kekerapan tren di Lembah Klang secara berperingkat.
Sumber : Bernama