
KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif yang mensasarkan kesejahteran rakyat meliputi kenaikan bantuan tunai serta pelarasan gaji pusingan kedua penjawat awam dijangka menjadi intipati Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober ini.
Ramai penganalisis dari pelbagai firma penyelidikan berpendapat Belanjawan kali ini akan mengimbangi agenda reformasi fiskal dan keperluan menyokong rakyat yan menghadapi cabaran kos sara hidup.
Menurut mereka, ada berita gembira bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di mana peruntukan untuk program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka akan dinaikkan.
Penganalisis dari TA Securities meramalkan peningkatan peruntukan sebanyak 8.0 hingga 10 peratus daripada paras RM15 bilion pada tahun 2025.
Khabar gembira juga akan dinikmati kira-kira 1.7 juta penjawat awam menerusi pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baru, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Di bawah fasa ini, penjawat awam dalam kumpulan Pelaksana, Pengurusan, dan Profesional akan menerima kenaikan gaji sebanyak 7.0 peratus, manakala kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima kenaikan 3.0 peratus. Gaji minimum dalam perkhidmatan awam juga akan dinaikkan lagi kepada RM2,327 sebulan.
Bagi membiayai perbelanjaan ini sambil terus mengamalkan disiplin fiskal, kerajaan dijangka akan memperkenalkan beberapa langkah percukaian baru. Antara yang paling signifikan ialah pelaksanaan cukai karbon buat kali pertama, yang akan dikenakan ke atas industri besi, keluli, dan tenaga.
Ini selari dengan komitmen negara terhadap agenda kelestarian dan dianggarkan boleh menjana hasil tambahan sehingga RM5 bilion setahun.
Kerajaan juga diduga menyemak semula cukai pelancongan yang dikenakan ke atas pelancong asing, dengan potensi kenaikan daripada RM10 kepada julat antara RM20 hingga RM50 setiap malam, terutamanya menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.