
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat kepada 1,706 orang setakat pagi tadi.
Di SABAH, jumlah mangsa dipindahkan ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS) melonjak secara mendadak kepada 1,399 orang daripada 488 keluarga berbanding 619 mangsa daripada 220 keluarga semalam.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, lapan pusat pemindahan kini beroperasi di tiga daerah yang terjejas iaitu Beaufort, Kota Belud dan Tenom.
Beaufort mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 587 orang, diikuti Tenom (535 orang) dan Kota Belud (277 orang).
Setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala status bencana di Kota Belud masih menunjukkan trend peningkatan.
Di SARAWAK, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, Miri meningkat kepada 307 orang daripada 113 keluarga pagi ini berbanding 213 orang daripada 73 keluarga pada petang semalam.
Semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS meliatkan penduduk dari Kampung Kawang, Kampung Jenggalas, Kampung Rambai, Kampung Pintasan, Kampung Masjid, Kampung Kuala Lajung, Kampung Majelin dan Kampung Kelapa, Bekenu.