Banjir Memburuk, 8 Negeri Terjejas, Mangsa Cecah 24,907

FOTO BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Malaysia, terutamanya di kawasan Timur dan Utara negara, menunjukkan trend yang semakin memburuk.

Jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara melonjak kepada 24,907 orang membabitkan 8,308 keluarga, dengan 142 PPS beroperasi di 26 daerah.

Laporan situasi terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Negara hari ini mengesahkan lapan negeri kini terjejas: Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, dan Pahang. Trend keseluruhan menunjukkan peningkatan berterusan jumlah mangsa, terutamanya di kawasan utara dan Pantai Timur.

Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas dengan mencatatkan 9,525 mangsa yang ditempatkan di 40 PPS di daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, dan Pasir Puteh.

Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,913 orang, namun daerah ini dilaporkan menunjukkan trend menurun.

Sebaliknya, Kota Bharu, Bachok, dan Pasir Puteh mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.

Banjir di Kelantan juga meluas apabila empat lagi daerah baru, iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang, dan Machang,turut dinaiki air, menjadikan keseluruhan lapan daerah terjejas setakat 8.30 pagi ini.

Dalam perkembangan berkaitan, paras air Sungai Golok di Kelantan telah melepasi paras bahaya pada bacaan 9.13 meter (m). Selain itu, tujuh sungai utama lain di negeri itu turut menunjukkan peningkatan, dengan tiga melepasi paras amaran dan tiga lagi melepasi paras waspada.

Dalam usaha meringankan beban mangsa pula, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengumumkan bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir yang berdaftar di PPS, sebaik sahaja mereka pulang ke rumah.

Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim, menekankan bahawa bantuan RM1,000 ini akan disalurkan melalui Akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) dan tidak akan diberikan secara tunai.

“Bantuan itu untuk membeli keperluan asas sebaik pulang ke rumah dan nilainya RM1,000 untuk satu keluarga, syaratnya, mesti berdaftar,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Geting, Tumpat.

Beliau turut menyeru semua mangsa agar mendaftar di PPS, walaupun bagi mereka yang perlu keluar bekerja atau menjaga rumah, namun menasihatkan mangsa dalam kalangan anak kecil, warga emas, atau OKU untuk kekal di PPS demi keselamatan.

Sementara itu, lebih banyak gelombang hujan lebat diramal berlaku. Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia kerana negara dijangka berdepan dengan lebih banyak gelombang hujan lebat pada bulan-bulan akan datang, menandakan episod awal Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 telah bermula.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad, menyatakan bahawa episod awal monsun lazimnya melanda Kelantan dan Terengganu.

“Berdasarkan corak klimatologi dan unjuran METMalaysia, orang ramai perlu bersiap sedia untuk beberapa lagi episod yang akan menyusul,” katanya.

Beliau berkata, negeri seperti Pahang, Johor, Sabah, dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebih lebat dalam episod yang diramalkan berlaku pada Disember dan Januari akan datang.