Banjir Gelombang Kedua Banjir Mula Melanda

Foto Ihsan Penduduk

KUALA BERANG: Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh, Ajil, ditenggelami air akibat hujan berterusan, menandakan bermulanya gelombang kedua banjir.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hulu Terengganu yang menempatkan 53 mangsa banjir sejak petang semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS Balai Raya Kampung Lubuk Periuk dibuka kira-kira jam 4.30 petang dengan menempatkan lapan mangsa banjir daripada dua keluarga,

Selain itu, PPS Masjid Kampung Peneh dibuka sekitar jam 4.45 petang dengan menempatkan 45 mangsa banjir (16 keluarga).

Penduduk Kampung Lubuk Periuk, Puteri Sanura Abdul Majid, 33, berkata beliau berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kira-kira jam 4.30 petang tadi selepas rumahnya dinaiki air.

“Saya terpaksa meredah banjir sedalam lebih 0.5 meter bersama tiga anak untuk ke PPS. Keadaan ini sudah menjadi rutin saban tahun.

“Kedudukan rumah kami di kawasan rendah memang terdedah kepada banjir, tambahan pula terletak berhampiran sungai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan banjir di kawasan kampungnya lazimnya tidak lama berikutan air cepat surut apabila hujan berhenti.