
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membangunkan sistem amaran awal gempa bumi di seluruh negara melalui amaran mudah alih dan siren supaya rakyat mendapat maklumat tepat pada masanya dan boleh bertindak segera.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ini memandangkan negara tidak mungkin bebas sepenuhnya daripada risiko seismik susulan daripada gempa bumi kecil yang berlaku di Johor baru-baru ini serta gegaran yang dirasai di beberapa negeri.
Katanya, walaupun kebiasaannya gegaran di negara ini adalah kecil, ia tetap tidak dapat dijangka dan boleh mengakibatkan kerosakan serta menimbulkan panik sekiranya tidak bersedia.
“Justeru pemantauan lebih kukuh dengan memetakan semula garisan sesar di seluruh negara serta dipantau menggunakan teknologi seismik moden bagi mengesan risiko lebih awal.
“Selain itu, penguatkuasaan kod bangunan tahan gempa serta kerja-kerja pengukuhan pada sekolah, hospital dan infrastruktur awam mesti diutamakan.
“Pada masa yang sama, latihan kesiapsiagaan gempa bumi dan pendidikan keselamatan perlu dijadikan sebahagian daripada daya tahan komuniti di seluruh negara,” katanya.