
KUALA LUMPUR: Satu lagi khabar duka menyelubungi negara apabila seorang rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden runtuhan bangunan di Angeles City, Filipina, disahkan meninggal dunia. Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) mengesahkan kematian tersebut hari ini, dua hari selepas tragedi yang menggegar wilayah Pampanga, utara Manila itu berlaku. Dua orang rakyat Malaysia diketahui terlibat dalam insiden ngeri tersebut, dengan seorang lagi disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Bangunan sembilan tingkat yang masih dalam proses pembinaan itu runtuh kira-kira pukul 3 pagi pada 24 Mei 2026, ketika kebanyakan penduduk masih lena dibuai mimpi. Dianggarkan antara 30 hingga 40 orang terjebak ketika bangunan itu runtuh akibat badai petir yang melanda kawasan berkenaan, manakala lebih 100 anggota polis dan kakitangan kerajaan segera dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Rakyat Malaysia yang terkorban itu sebelumnya terperangkap di sebuah hotel apartmen yang terletak berhampiran tapak bangunan yang runtuh. Jurucakap penyelamat setempat mengesahkan bahawa runtuhan bangunan agak teruk sehingga merosakkan penginapan yang terletak di sebelahnya, menjadikan situasi operasi menyelamat semakin mencabar.
Sekurang-kurangnya 24 pekerja bernasib baik apabila berjaya menyelamatkan diri dengan berlari keluar atau segera dievakuasi sebaik sahaja struktur bangunan mula runtuh. Majoriti pekerja yang selamat diketahui sedang tidur di tingkat bawah ketika bangunan mula bergegar. Namun begitu, seorang mangsa yang ditemui masih bernyawa namun meninggal dunia tidak lama selepas itu, manakala seorang lagi dilaporkan mengalami serangan jantung ketika masih terperangkap di bawah runtuhan.
Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan bahawa waris terdekat mangsa telah dimaklumkan mengenai tragedy tersebut sementara Kedutaan Besar Malaysia di Manila aktif menyalurkan bantuan konsular kepada keluarga mangsa termasuk membantu urusan pengendalian jenazah.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang menyiasat permit pembinaan serta kelayakan struktur bangunan tersebut, sementara Wisma Putra turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Filipina atas bantuan dan kerjasama yang diberikan sepanjang operasi menyelamat berlangsung. Kementerian menegaskan komitmennya untuk terus memantau kebajikan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia di luar negara pada setiap masa.
Sumber : Bernama