Baki 38 Jemaah Umrah Terkandas Pulang

Baki 38 daripada 42 jemaah umrah yang terkandas di Jeddah akan dibawa pulang ke tanah air hari ini menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH157) dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Empat jemaah sudah pulang ke Malaysia kelmarin selepas membeli tiket sendiri termasuk warga emas yang pulang bersama ahli keluarga kerana mempunyai janji temu doktor di hospital.

Pengarah Urusan Persada Global Holidays Sdn Bhd, Shahir Ibrahim, berkata penerbangan dijadualkan berlepas jam 9 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia dan pihaknya akan menguruskan jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ya… semua jemaah akan dibawa pulang sekali gus,” katanya.