
KANGAR: Ada taktik baru yang digunakan sindiket penyeludupan dadah berhampiran Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis.
Mereka menyembunyikan ganja di atas pokok bakau di kawasan paya berhampiran kampung itu.
Bagaimanapun, ia gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila lebih 40 kilogram (kg) bahan terlarang itu dirampas baru-baru ini.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis memeriksa kawasan hutan bakau berkenaan pada 1.30 pagi 24 Ogos lalu selepas mendapat maklumat sebelum menemukan 51 ketulan mampat serta plastik lutsinar dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM378,000.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, ganja berkenaan ditemukan dalam guni putih dan plastik yang diletakkan di atas pokok bakau di kawasan paya bakau berhampiran kampung itu.