
KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya sejak diperkenalkan, World #QuranHour 2026 memecah tradisi apabila akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Program yang memasuki tahun ke-11 itu bakal berlangsung pada 11 Mac 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Ketua Pegawai Content Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail, berkata, keputusan menggunakan bahasa Inggeris dibuat bagi memperluaskan capaian mesej ke peringkat antarabangsa, selari dengan nama ‘World’ yang dibawa kempen itu.
Sebelum ini akses kefahaman terhadap mesej program agak terhad khususnya di peringkat global.
“Tahun ini kita memilih bahasa Inggeris dengan harapan mesej untuk menobatkan al-Quran sebagai panduan hidup dapat dicapai bukan sahaja rakyat Malaysia, malah seluruh dunia,” katanya.
World #QuranHour 2026 akan mengangkat Surah al-Muzzammil, surah ke-73 yang mengandungi 20 ayat, sebagai fokus utama. Surah ini berperanan sebagai panduan kepada Nabi Muhammad SAW dalam memperkukuh jati diri ketika berdepan fasa tugas yang lebih besar.
Tema tahun ini pula ialah Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia.
Menurut Fazrul, mesej itu amat relevan dengan situasi semasa yang mencabar, justeru masyarakat digalakkan menghayati ‘formula daripada Pencipta’ untuk memperkukuh diri, negara dan dunia.
Penganjuran kali ini turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM.