
KUALA LUMPUR: Impian pengasas dan pemilik Bahari Asyek, Zahalina Ab Rahman untuk memperkenalkan busana tradisi Melayu ke pentas antarabangsa akhirnya menjadi kenyataan apabila diundang untuk berbuat demikian di New Zealand.
Baru-baru ini, Bahari Asyek diundang oleh Kedutaan Malaysia di Wellington untuk menjadi sebahagian daripada persembahan sempena sambutan Hari Malaysia ke-62 di sana.
“Kami mahu dunia jatuh cinta pada warisan bangsa,” kata Zahalina penuh semangat.
Acara yang berlangsung di St James Theatre itu dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki.
Hadir sama, wakil kerajaan New Zealand, termasuk Duta Besar Grahame Morton (Timbalan Setiausaha – Kumpulan Amerika & Asia, Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand) serta Menteri, Mark Mitchell yang memegang beberapa portfolio utama termasuk Komuniti Etnik dan Sukan.
Seramai 62 wakil kedutaan asing serta komuniti Melayu setempat turut hadir.