
KUALA LUMPUR: Apabila pembangkang mengemukakan soalan tanpa meneliti isi kandungan dokumen terlebih dahulu, darah Menteri Digital Gobind Singh Deo menyirap.
Beliau terus menegur pihak pembangkang di Dewan Rakyat, khususnya selepas Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bertanyakan soalan tambahan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika (ART) ketika menteri terbabit menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang bertanya mengenai peranan Malaysia dalam rangkaian AI Safe Asean.
“Saya minta Pasir Mas (Ahmad Fadhli) baca baik-baik artikel-artikel yang berkaitan itu. Persetujuan itu lain, consult (rundingan) itu lain. Ini perkataan yang sangat basic.
“Saya tak faham di sebelah sana (pembangkang) yang tak faham bahasa yang mudah-mudah ini. Baca dokumen itu, sama-sama kita membina negara ini.
“Soalan yang saya jawab hari ini berkaitan dengan AI Safe. Jawapan saya berkaitan dengan perbincangan yang diadakan semua menteri-menteri digital serantau.
“Saya katakan: ya, ada perbincangan. Tapi, soalan yang dilontarkan itu seolah-olah tidak ada perbincangan, ada kekangan dan sebagainya. Apa yang kamu cakap ini, tak faham langsung ke?” soal Gobind.
Terdahulu, Ahmad Fadhli bertanya kenapa Malaysia dianggapnya berbeza dengan Kemboja yang terlebih dahulu menandatangani perjanjian dengan Amerika lebih awal.