
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa Khamis ini.
Mohamed Azmin membuat pengumuman tersebut menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Dalam kenyataan itu, beliau berkata pelantikannya sebagai Setiausaha Agung PN sebelum ini dibuat di bawah bidang kuasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sehubungan itu, saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.
Beliau turut memaklumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Mohamed Azmin dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai dan saya mengucapkan terima kasih,” katanya.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN dalam satu kenyataan pada malam Rabu.
Peletakan jawatan Muhyiddin itu kemudiannya disahkan oleh Mohamed Azmin sendiri, yang juga Setiausaha Agung BERSATU, serta Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.