
KUALA LUMPUR: Dari sukan lumba basikal ke dunia korporat. Ikon sukan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang kini adalah pemegang saham terbesar Syarikat teknologi digital, Systech Bhd.
Systech hari ini mengumumkan Azizulhasni, yang juga pemenang pingat Sukan Olimpik dalam acara berbasikal trek, memperoleh 34.69 juta saham biasa, bersamaan 5.28 peratus daripada jumlah modal saham terbitan syarikat berkenaan melalui LMY Holdings Sdn Bhd.
Selain itu, Aspiration Partners PLT, dengan Azizulhasni sebagai salah seorang daripada tiga pengasas, turut menjadi pemegang saham besar melalui kepentingan tidak langsung dalam blok saham yang sama.
Beliau turut memiliki 30,000 saham Systech secara peribadi.
“Dengan pembabitan Azizulhasni serta sokongan pihak berkepentingan yang progresif, kumpulan kekal komited untuk mempercepat inovasi, memperluas kehadiran serantau dan mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” menurut kenyataan itu.