Azam Baki: Tak perlu cuti, sedia disiasat

Foto Fail

DENGKIL: Siasatan berkait isu pemilikan saham yang sedang dijalankan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak akan menyebabkan beliau perlu bercuti.

Menjawab gesaan pihak tertentu yang mahu beliau direhatkan sementara siasatan dijalankan, Azam berkata: “Saya tak perlu bercuti, sebelum ini ada juga individu yang disiasat di mahkamah, namun masih bertugas”.

Beliau berata, perkara itu bukan isu dan terpulang kepada sesiapa sahaja untuk membuat desakan sedemikian.

“Itu terpulang kepada mereka. Saya tidak perlu bercuti,” katanya sambil mengulangi kesediaannya untuk disiasat oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan.

“Saya bersedia pada bila-bila masa dan jika dipanggil, saya akan menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan. Saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya.

Mengenai protes dirancang diadakan di ibu negara hari ini, Azam berkata: “Saya tidak mahu ulas. Sebelum ini sudah banyak demonstrasi terhadap saya, ini bukan kali pertama, anda boleh semak rekod”.

Katanya, terpulang kepada pihak berkenaan sama ada mahu berhimpun atau mengadakan protes.