
KUALA LUMPUR: Bloomberg yang beralamat di Lexington Avenue, New York serta cawangannya di Malaysia, iaitu Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, disaman oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Saman itu, yang difailkan Azam menerusi Tetuan Zain Megat & Murad di Mahkamah Tinggi, di sini kelmarin menamakan Bloomberg selaku defendan pertama dan cawangan di Malaysia sebagai defendan kedua.
Saman itu difailkan berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.
Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan diperoleh media hari ini, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.
Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan dan ejen atau pekerja mereka daripada membuat, mencetak, menerbitkan perkataan-perkataan yang dirujuk di dalam tuntutan ini atau seumpamanya yang memfitnah plaintif serta memadam dan menurunkan kenyataan fitnah dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.
Turut dituntut permohonan maaf yang mana termanya dipersetujui oleh peguam cara Azam terlebih dahulu untuk diterbitkan di akhbar dan media sosial yang dipilih oleh plaintif.
Azam mendakwa pada 8 pagi 10 Februari lalu, kedua-dua defendan menerbitkan dan menyebabkan penerbitan satu artikel di Bloomberg.com bertajuk Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry yang dikarang Niki Koswanage dan Tom Redmond.