Azam Baki Kata Lokap Guna CCTV Lapuk

Foto Hiasan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan lokap dimiliki agensi penguat kuasa di negara ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) canggih bagi meningkatkan ketelusan serta integriti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata beliau menyedari sistem CCTV yang dimiliki beberapa agensi sudah lapuk dan kemungkinan boleh menimbulkan tohmahan serta masalah.

“CCTV yang ada sekarang CCTV yang lapuk, ya ada CCTV, saya tahu, tapi banyak isu sehingga menimbulkan banyak tohmahan seperti kematian, mungkin isu rasuah pun ada, ketidakpatuhan pun ada, (hanya disebabkan) oleh masalah teknikal.

“Jadi CCTV penting kepada saya dan saya sarankan CCTV bukan sekadar CCTV biasa, pertama ada sistem AI, yang kedua perlu ada pusat kawalan, janganlah CCTV tu tidak disambungkan ke pusat kawalan,” katanya.

Dalam sesi khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam, Azam memberitahu, satu kertas kerja yang lebih komprehensif berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada kerajaan untuk pertimbangan.

Selain pemantauan lokap, beliau turut mencadangkan supaya siaran langsung prosiding perbicaraan kes rasuah dipertimbangkan bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap proses kehakiman.