
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyokong cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya hukuman lebih berat, termasuk sebatan, dikenakan terhadap penjenayah penipuan dalam talian, malah menyatakan beliau bersedia menerima hukuman melangkaui sebatan bagi jenayah tersebut.
Bagaimanapun, katanya, usaha membendung jenayah itu tidak boleh bergantung kepada peningkatan hukuman semata-mata kerana institusi kewangan yang menerima aliran wang hasil penipuan turut perlu memikul tanggungjawab iaitu satu pendirian yang berulang kali dinyatakannya di dalam dan luar Parlimen. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Azalina berkata tidak wajar pihak bank meletakkan sepenuhnya risiko kehilangan wang kepada pelanggan dengan alasan akaun berkenaan digunakan pihak lain, sambil menyifatkan pendekatan itu seolah-olah menyarankan orang ramai menyimpan wang di rumah sahaja. Menurutnya, walaupun Bank Negara Malaysia dan PDRM telah berulang kali mengeluarkan pesanan khidmat masyarakat, orang ramai masih terus menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji sama ada hukuman lebih berat benar-benar berupaya menurunkan kes penipuan, atau sebaliknya mekanisme tanggungjawab bersama dengan institusi perbankan lebih berkesan. Jika bank turut dipertanggungjawabkan, katanya, ia berpotensi mendorong institusi kewangan memperketat sistem pemantauan dan keselamatan bagi menghalang transaksi mencurigakan.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM mencadangkan pindaan terhadap undang-undang lapuk serta hukuman jauh lebih berat termasuk sebatan ke atas penjenayah penipuan dalam talian, memandangkan hukuman sedia ada dilihat terlalu minimum sehingga gagal menimbulkan rasa gentar dalam kalangan dalang dan ahli sindiket.
Sumber : Bernama