Awasi warga Israel masuk guna kewarganegaraan kedua

Foto Hiasan / Malay mail

PUTRAJAYA: Ada kebimbangan serius bahawa mungkin ada cubaan warga Israel yang berselindung di sebalik identiti kewarganegaraan kedua untuk memasuki Malaysia melalui saluran diplomatik atau delegasi rasmi.

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) bimbang tindakan sebegini boleh menjejaskan keselamatan negara serta menggugat kedaulatan Malaysia yang selama ini tegas mempertahankan pendirian terhadap isu kemanusiaan antarabangsa.

“CENTHRA menyeru Kerajaan Malaysia agar mempertingkatkan langkah kawalan dan pemantauan keselamatan terhadap individu yang memiliki dua kewarganegaraan, khususnya mereka yang dijangka tiba di Malaysia minggu ini sempena Sidang Kemuncak Asean termasuk dalam kalangan rombongan yang mengiringi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” katanya.

Pusat penyelidikan itu menyebut, adalah wajar dan perlu bagi pihak berkuasa menjelaskan tatacara saringan keselamatan yang sedang dilaksanakan terhadap individu berstatus sedemikian.

“Langkah ini penting bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tempat perlindungan kepada mana-mana pihak yang terlibat, merancang, memudahkan, atau bersubahat dalam pelaksanaan jenayah genosid di Wilayah Palestin yang diduduki,” katanya.

CENTHRA menyeru semua Ahli Parlimen Malaysia untuk terus berpegang teguh kepada prinsip keadilan antarabangsa dan tanggungjawab moral terhadap keamanan sejagat dengan menyokong langkah menolak kemasukan mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam jenayah perang atau genosid.