
Asean, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China sepakat mengutuk serangan terhadap orang awam di Gaza dan menggesa semua pihak terbabit menghentikannya.
Dalam kenyataan bersama selepas Sidang Kemuncak Asean-GCC-China yang pertama kali diadakan itu, pemimpin-pemimpin gabungan serantau dan antara rantau itu menggesa diadakan gencatan senjata yang kekal.
Mereka juga mahu akses tanpa sekatan untuk bantuan kemanusiaan, keperluan asas dan pemulihan perkhidmatan penting. Mereka juga mahu Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibenar menjalankan kerja kemanusiaan di daerah itu.
“Mereka menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan itu dan menyokong usaha berterusan bagi membebaskan semua tebusan serta mereka yang ditahan tanpa sebab,” kata kenyataan itu.