Asean Disaran Bergerak Dengan Satu Suara

Asean perlu bergerak dan berfikir senada dan satu suara: Prof Dr Azmi Hassan

Asean perlu sebulat suara dalam menangani pelbagai isu serantau dan antarabangsa walaupun ia sukar dilakukan, kata pakar geopolitik negara Profesor Dr Azmi Hassan.

Menurutnya, Malaysia sebagai Pengerusi Asean mempunyai kuasa besar untuk menentukan agenda pertubuhan itu dengan memastikan negara-negara anggota bergerak dan berfikir dalam satu suara.

“Sebagai contoh, ada negara Asean yang taksub dengan Amerika Syarikat manakala ada yang berkiblatkan China dalam pertembungan AS – China. Ini menyebabkan ada perbezaan dan Pengerusi Asean boleh memainkan peranan untuk meredakan isu itu dengan memujuk negara anggota bertindak dalam satu suara,” katanya.

Prof Azmi juga menyatakan Asean ada masalah dengan China tetapi ia tidak menghalang negara-negara anggota untuk berdagang dengan negara itu.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh selesaikan masalah ini. Ada negara Asean anggap Amerika Syarikat sebagai big brother manakala ada yang menyifatkan China sebagai big brother mereka.

“Pengerusi Asean boleh menjadi pengimbang yang boleh  memujuk negara-negara anggota berada di tengah-tengah. Berkawan dengan kedua-dua kuasa besar itu untuk dapat manfaat,” katanya.

Beliau juga berpendapat promosi mesyuarat kali ini, khususnya di media massa amat kurang dan tidak dapat menarik perhatian orang ramai.

“Promosi strategik seperti dokumentari khas persidangan Asean harus dibuat untuk menarik perhatian rakyat,” katanya.

Kerusi pengerusi disandang oleh Malaysia buat kali kelima sejak penubuhan Asean pada 1967. Dengan tema “Keterangjuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program Utama di seluruh negara.

Sebagai tuan rumah, Malaysia juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan penjagaan kesihatan.

Malaysia pernah mempengerusikan Asean pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.