AS Puji Kepimpinan Anwar Jadi Orang Tengah Gencatan Senjata Kemboja-Thailand

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Amerika Syarikat menyambut baik pengisytiharan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diumumkan hari ini di Kuala Lumpur. Pengumuman itu disampaikan melalui kenyataan rasmi oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.

Menurut kenyataan tersebut, Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio menzahirkan komitmen terhadap penghentian segera keganasan serta menggesa kedua-dua kerajaan — Kemboja dan Thailand — agar menunaikan janji mereka untuk menamatkan konflik tersebut.

Amerika Syarikat turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepimpinan beliau dan peranannya sebagai tuan rumah rundingan gencatan senjata yang berlangsung di ibu negara.

“Kami menggesa semua pihak agar terus komited terhadap perjanjian yang telah dicapai. Amerika Syarikat kekal terlibat dan komited dalam proses yang dianjurkan bersama Malaysia ini untuk menamatkan konflik,” kata Rubio.

Pengisytiharan ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha diplomatik rantau ini yang melibatkan peranan aktif negara-negara ASEAN dan kuasa-kuasa besar dunia.

Perancis dan Jerman memuji usaha Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara bagi menyelesaikan konflik di antara Thailand dan Kemboja.

Kejayaan ini sekali gus memperkukuh kepercayaan antarabangsa terhadap Asean sebagai platform utama diplomasi serantau.

Dalam perbualan telefon bersama Anwar semalam, Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyampaikan penghargaan atas usaha diplomatik yang ditunjukkan Malaysia.

Menurut jurucakap kerajaan Jerman dalam kenyataan, Stefan Kornelius, Merz menekankan pentingnya usaha berterusan bagi meredakan ketegangan dan melihat Malaysia sebagai rakan strategik utama di Asia Tenggara.