ART Malaysia-AS tidak terpakai: Johari

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh diperkenalkan Presiden Donald Trump, perjanjian dagangan Timbal Balas (ART) di antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini tidak lagi terpakai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menerusi perjanjian yang ditandatangani pada Oktober lalu, Malaysia sepatutnya dikenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, buat masa ini Malaysia hanya dikenakan tarif global sebanyak 10 peratus.

“Sekarang Trump menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan 1974 Amerika yang menetapkan tarif 10 peratus kepada Malaysia.

“Jadi dalam tempoh lima bulan ini, Amerika akan membuat semakan sama ada mahu menggunakan Seksyen 301 bagi menentukan kadar tarif baru,” katanya.

Sebelum ini, Johari dilapor memaklumkan, Malaysia sedang meneliti perkembangan dasar perdagangan terbaru Amerika termasuk menilai skop serta implikasi keputusan pentadbiran Trump yang mengumumkan pelaksanaan tarif 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara.