
KUALA LUMPUR: Pemain bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi ada aksi dan kemahiran terbaru, memasak dan menjual burger.
Menerusi satu perkongsian video dimuat naik pengguna dzarulaiman di platform Threads, Arif Aiman dilihat cuba menjual burger sambil menyediakan sendiri pesanan pelanggan termasuk memasak dan membungkus makanan.
Video berkenaan menarik perhatian ribuan peminat di media sosial, dengan sebahagian mereka menyokong pemain sayap lincah itu memulakan perniagaan sendiri ketika berehat daripada aksi kompetitif.
“Arif dah penat nak main bola rasanya, asyik cedera je. Baik jual burger lagi, tak ada kena pakok kaki,” tulis pengguna nizam_segamat.
Tidak kurang juga peminat yang mendoakan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga-M) itu segera pulih dan kembali memperkuatkan JDT serta skuad kebangsaan.
Arif Aiman difahamkan masih dalam tempoh rehat susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
Bagaimanapun, perkembangan minggu lalu menyaksikan dia sudah kembali ke Pusat Latihan Padang Seri Gelam selepas pulih daripada kecederaan hamstring.
Pemain berusia 22 tahun itu menerima rawatan daripada doktor sukan terkemuka, Lasse Lempainen dan perlu berehat hampir tiga bulan selepas hanya sempat beraksi selama lapan minit ketika menentang Nepal pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.