
IPOH: Bagi mereka yang berminat untuk belajar dan menguasai bahasa asing,cubalah aplikasi yang dibangunkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Aplikasi yang dinamakan SOVO Kit 2.0 itu bersifat interaktif berasaskan kemahiran mendengar untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap bahasa asing, iaitu Perancis, Jerman, Sepanyol, Jepun dan Mandarin.
.
Aplikasi ini menampilkan ilustrasi berwarna-warni, gabungan bunyi dan suara, serta latihan bahasa yang membantu pelajar memahami asas sebutan dan perbendaharaan kata dengan lebih berkesan melalui pendekatan autentik dan menyeronokkan.
SOVO Kit 2.0 dihasilkan oleh pasukan penyelidik pelbagai disiplin UPSI dan disokong oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi, dengan matlamat memperkukuh kemahiran linguistik generasi muda serta menyokong aspirasi negara melahirkan masyarakat celik pelbagai bahasa.
Ketua Penyelidik Mariyati Mohd Nor berkata aplikasi itu boleh dimuat turun melalui platform Android dan Apple.
“SOVO Kit 2.0 lebih menekankan gabungan bunyi dan suara yang membentuk konsep SOVO sebagai medium utama pembelajaran. Ia juga
menawarkan latihan bahasa berasaskan kemahiran mendengar bagi membantu pelajar memahami asas sebutan dan perbendaharaan kata dengan lebih berkesan,” katanya.
Turut terbabit dalam membangunkan aplikasi itu adalah rakan penyelidik Robe’ah Yusuf, Noraziah Abdul Aziz, Noor Azalina Buang, Tan Lee Na dan Muhammad Hilmi Che Ahamad. Masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa asing.
Mariyati berkata pendekatan pelbagai disiplin itu membolehkan aplikasi berkenaan memuatkan kandungan autentik, menyeluruh serta sesuai dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak.
“Versi SOVO Kit 1.0 hanya menekankan kemahiran mendengar, tetapi kali ini SOVO Kit 2.0 menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk menguasai lima bahasa asing dengan pendekatan interaktif, menyeronokkan dan autentik.
Kami yakin ia dapat memperkukuh pembelajaran sejak usia muda, sekali gus membentuk generasi lebih bersedia menghadapi cabaran global,” katanya.