
KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah kegawatan insiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendakwa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) “menipu” susur galur pemain warisan, Presidennya, Gianni Infantino, dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Lawatan itu adalah bersempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 tahun 2025, yang turut dijangka dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Menurut sumber kanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lawatan itu antara lain bertujuan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan bola sepak Asean, satu langkah penting bagi memperkukuh ekosistem bola sepak di Asia Tenggara.
Selain menghadiri acara rasmi, Infantino dijadual melawat Pusat Latihan Nasional (NTC) di Putrajaya.
Sumber itu memaklumkan lawatan berkenaan memberi peluang kepada wakil FIFA menilai kemudahan moden yang dibangunkan untuk menyokong visi jangka panjang bola sepak Malaysia.
Atur cara lawatan Infantino juga dijangka merangkumi kunjungan ke program Football for Schools di Kelana Jaya, inisiatif yang bertujuan menggalakkan penyertaan pelajar dalam bola sepak melalui pendekatan pendidikan dan komuniti.
Lawatan ini dilihat berpotensi meningkatkan profil bolasepak Malaysia, khususnya dari aspek pembangunan akar umbi serta peranan negara dalam perancangan bola sepak serantau.